Tuesday, December 14, 2010

KHUTBAH WIDA' RASULLULAH S.A.W

Wahai Manusia,

Dengarkanlah baik-baik apa yang hendak ku sampaikan dan ku katakan, aku tidak mengetahui apakah aku akan dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini.

Oleh itu, dengarkanlah dengan teliti kata-kata ku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak hadir disini pada hari ini.

Wahai Manusia,

Sepertimana kamu menganggap pada bulan ini dan kota ini suci, maka anggaplah bahawa jiwa dan harta setiap orang muslim itu sebagai amanah yang suci. Kembalikanlah harta-harta kamu yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak.

Janganlah kamu menyakiti sesiapa pun agar orang lain tidak menyakiti kamu pula. Ingatlah sesungguhnya kamu akan menemui tuhan kamu, dan Dia pasti akan membuat perhitungan di atas amalan-amalan kamu.

Allah S.W.T telah mengharamkan riba', oleh itu segala urusan yang melibatkan riba adalah terbatal melalui sekarang.

Berwaspadalah kamu terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu, dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara yang besar, maka berjaga-jagalah kamu agar tidak mengikutinya dalam perkara-perkara yang kecil.

Wahai Manusia,

Sebagaimana kamu mempunyai hak ke atas isteri kamu, maka mereka juga mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak untuk mendapat makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang.

Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah kamu terhadap mereka, kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia.

Hak kamu ke atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan di larang melakukan zina.


Wahai manusia,

Dengarlah bersungguh-sungguh kata-kata ku ini, sembahlah Allah, dirikanlah solat lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadhan, tunaikanlah zakat-zakat dari harta kekayaan kamu dan kerjakanlah ibadah haji sekiranya kamu mampu.

Ketahuilah bahawa setiap muslim adalah bersaudara kepada muslim yang lain dan tidak seorang pun dari kamu lebih mulia daripada yang lain kecuali di dalam soal taqwa dan amal soleh.

Ingatlah bahawa kamu akan menghadap dan menemui Allah S.W.T pada satu hari kelak untuk dipertanggungjawabkan di atas segala apa yang telah kamu kerjakan.

Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaan ku.

Wahai manusia,

Tidak ada Nabi dan Rasul yang akan diutuskan selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu.

Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang mana sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku.

Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku ini menyampaikanya pula kepada orang lain, dan hendaklah orang itu pula menyampaikannya kepada orang lain, semoga yang terakhir itu lebih memahami dan menghayati kata-kataku daripada mereka yang mendengar terus dariku.

Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalahMu kepada hamba-hambaMu

Nota: Khutbah ini telah Rasulullah S.A.W. sampaikan pada 9 Zulhijjah 10 Hijrah di lembah gunung arafah.

No comments:

Post a Comment